Wednesday 19 September 2012

Naskah.


Dari jauh aku nampak kau. Aku pandang lama untuk figura yang lebih jelas. Tak salah lagi. Itu memang kau yang aku pernah dan masih kenal sampai hari ini sedang berlari kecil menuju ke tempat persembunyian kau untuk kau curi curi senyum pada aku. Aku tak kejar. Aku cuma biar dan berlalu melepasi kau dengan lega. Aku tak lupa babak manis yang selalu ada dalam akasia cinta  dan aku perlahan lahan menoleh ke belakang. Di sana, aku nampak kau dan manisnya senyuman kau. Biar sekejap asal terkesan hingga terbuai buai di angin lalu.

Jangan benci terlalu benci. Nanti sayang terlalu sayang. Aku tak nampak di mana tercelanya engkau pada layar pandang aku. Buta mungkin. Tipikal cinta. Aku tak peduli bila orang orang cakap kau tak sekacak Adi Putra atau Aaron Aziz. Langsung aku tak peduli. Cumanya yang aku peduli setianya sampai hari ini. Senyum penuh jelita.
*****
Kau tahu, fitrahnya bahagia itu tak selalu indah? Ya. Tak terkecuali juga hikayat kita yang aku kira geloranya tak pernah reda. Cuma kuat atau tidak. Macam orang orang pernah kata, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepian pantai. Kau yang cari tapak untuk bina istana kita, kau bawa aku bersama buat menemani setiap badai yang kunjung tiba. Aku rela tapi tak lama dan kau turutkan dalam sayu. Ya lah. Istana pasir, mana nak tahan lama. Baru digigit gigi air, sudah mahu rebah sebelah.

Di satu sudut dunia yang aku sendiri cipta, aku tak pasti. Aku yang mohon untuk pergi, tapi yang meratap penuh hiba itulah aku. Bodoh. Patutnya aku harus pergi dengan gagah perkasa. Tinggalkan kau dengan senyum senget yang penuh ejek hina segala. Tapi itu bukan aku. Aku cuma pejam mata, katup mulut dengan tangan dan sesekali mencuri nafas jauh jauh agar tak terdengar sikit pun esak aku dihujung sana.

Aku selalu kalah. Kalah dengan ketabahan kau. Kalah dengan sabar yang kau ada. Kalah dengan tenang kepunyaan kau. Kalau dengan setia milik kau. Kalah dengan sekaliannya dari kau. Kau adalah antara karya hebat untuk aku dari Maha Hebat.

Sekembalinya aku dalam hidup kau setelah kau mula bangkit dan mulakan hidup baru. Bukan pada saat merudumnya kau satu ketika dulu. Ya, aku teruk segala. Aku bukan kembali dengan melihat pada jalan hidup yang pernah kau lalu. Sumpah tak. Kau tahu? Ini aku kira sangat kebetulan dari perginya aku hingga kembalinya aku. Aku pergi saatnya kau perlukan aku dan aku tiada dalam dunia kau. Kau seorang dengan melayan kerenah hidup kau dan aku sendiri dengan melayan ragam hidup aku. Aku kembali saatnya kau juga kembali pada hidup kau.

Kau harus tahu, aku pergi bukan sebab kepayahan kepunyaan kau. Malah, sedikit kisah celaka kau pun tak pernah kau ceritakan pada aku. Kasihnya kau pada aku tak pernah terluak. Kasihan kau. Aku tak pernah minta setiap kepayahan itu terjadi pada kau. Tak pernah. Percayalah. Kalau kau sudi, silalah maki aku untuk masa masa lalu yang tersia. Aku rela.

Dalam kerinduan yang tak terucap itu, langsung hariku adalah hari hari yang ternanti kosong atas kebencian yang aku sendiri cipta untuk kau tidak mohon kembalikan aku. Aku kaku bertahan sedaya mungkin. Acapkali punya senggang waktu, kau mampir bersama segenap kenangan kita. Maka, berpetualanglah sejenak aku pada hamparan cinta kita. Sayu.

*****
Dalam setiap malam malam yang terdakap rapi, aku selesa walau hanya mengirim pesan pesan penuh rasa. Lebih istimewa kalau suara kau mula mencuit gegendang telinga. Jawapanku, lena sampai ke bintang, senyum sampai ke telinga.

Dengan ini, pada mega yang berarak perlahan dan pada sisa sisa mentari yang terhanyut ini, cuma inilah simfoni hati milik aku bahawa aku akan terus mencintai kau selama hayatku ada. Pada pawana senja aku hembus nafas cinta bersama redup ruang atmosfera berona jingga. Lalu, aku titipkan sususan kata dalam kita buat berlabuhnya tirai semalam yang duka.

Sincerely,
Me.

No comments:

Post a Comment

Do leave your comment.
I thank you.

.Tiap cantuman aksaraku dan seisinya adalah yang terpinjamkan dariNYA.