Wednesday, 6 May 2015

Kejora

Kau adalah
Sentuhan malam tak berpenghujung
Mengusap lembut pelupuk mata
Sambil menghimpun melodi merdu
Berbisik tentang rindu

Lalu aku meminjam sayap sang pari
Terbang di birai langit seni
Memilih kejora yang paling berseri
Memilih yang manis
Yang menawan hati

Aku susun pada anjungnya bulan
Menjadi roman indah
Dan kita saling
Mengirimkan--
Senyum.

Selamat Hari Istimewa, Cikgu

Dia mengajar kita tulis kira
Daripada huruf A hingga Z
Daripada huruf alif hingga ya
Daripada nombor satu hingga infiniti
Tanpa dia-
Kita bukan siapa siapa

Dia mengajar kita eja baca
Daripada perkataan ringkas hingga lancar
Daripada merangkak di bawah bumbung
hingga berlari di bawah awan
Tanpa dia-
Kita bukan siapa siapa

Dia mengajar kita
Daripada pensel kepada pena
Daripada kertas garis satu kepada skrin berteknologi
Tanpa dia-
Kita bukan siapa siapa

Hari ini
Ada doktor pakar bedah
Ada peguam sedang lantang menghunus bicara
Ada arkitek sedang sibuk melukis dunia
Ada jurutera sedang gigih membina pencakar langit
Tetap tanpa dia-
Kita bukan siapa siapa

Terima kasih
Buat setiap ilmu yang dikongsi
Buat segenap jiwa yang direla
Buat seluruh sabar yang diluah
Buat serata sempat yang diluang
Tak lupa--
Buat serbi momen yang memedih
Buat meneguh juangmu hingga kini
Buat menjadikan aku selama ini.

Selamat Hari Istimewa, Cikgu.

11:27
04 Mei 2015
Teluk Intan

.Tiap cantuman aksaraku dan seisinya adalah yang terpinjamkan dariNYA.