Sunday 14 October 2012

Biji Saga Layu


Pelik. Dari mana datangnya biji biji saga yang bukan masih merah bertebaran atas tilam padu aku ni? Setiap pagi dan malam. Pada setiapnya juga aku mengibasnya menggunakan selimut. Berkirai di atas lantai. Aku kebiasaannya akan membuka jendela untuk pengaliran udara yang lebih baik sepertimana aku pelajari subjek perkhidmatan bangunan dahulu dan aku kira dah tiba masanya untuk aku aplikasikan segala. Pagi dan malam.

Kalau waktu pagi, paling awal aku buka tingkap pukul 11. Paling awal. Boleh agak agak aku bangun tidur pukul berapa? dan menjadikan rezeki rezeki aku mahal sebab lewat buka jendela. Malam pun aku buka untuk suasana yang lebih damai dan aku akan tutup pukul 10 lebih lebih sikit. Aku cinta suasana dinginnya malam. Dingin yang lembut.

Aku kaget. Aku perlu usulkan perkara ini pada pihak atasan beserta bukti bukti paling kukuh. Semakin aku biarkan semakin banyak ia bergelumang bersama aku. Lalu, dengan kekeliruan yang membuntu, aku tekad menghadap bonda. Antara isi isi penting :

Ibu, biji biji saga layu tu makin banyaklah kat tilam along.

Macam mana biji saga layu boleh ada dalam bilik kamu?

Ibu tak caya ibu pergi tengok sendiri. 

Bonda berjalan menuju ke kamar ku dengan kerut kerut dahi memikirkan biji biji saga layu itu. Bukti bangun pagi itu masih belum aku usik untuk aku pertontonkan pada bonda. Biar dia percaya. Belum pun bonda keluar dari kamarku, pecah tawanya aku boleh dengar dari luar. 

Kenapa bu? Kenapa gelak?

Kamu tahu tu apa? 

Biji saga layu lah.

Itu bukan biji saga layu. Itu biji kekabu. Kamu pergi tengok bantal kamu. Ada yang koyak tak?


Aku pun bukan main bersungguh cek semua bantal yang terbongkang atas tilam. Satu satu. Dan akhirnya ku ketemu jua bantal yang paling menyusahkan hati selama ini.

Ak ah. Ada ni. Ingatnye biji saga layu. Macam biji saga layu je.

Kalau biji saga layu, lain. Bukan la macam tu rupa dia.

Samdol punya aku. Biji saga layu dengan biji kekabu pun tak kenal! Tambah ibu - 

Ibu ingatkan dalam bilik kamu ada puteri bunian. Bantal sendiri bocor pun tak tahu.

Yang membuatkan aku mengusul masalah ini pada ibu ialah apabila keadaan jendela bertutup pun, biji saga layu masuh boleh masuk. Aku pelik dan aku mula mencari bukti untuk dinilai oleh bonda dan akhirnya selesai dengan jayanya. Sementara menunggu bantal dibalut dengan kain yang lain, sarung bantal yang bocor tadi telah aku sanggulkan. Biji saga layu sudah tiada lagi!!!


No comments:

Post a Comment

Do leave your comment.
I thank you.

.Tiap cantuman aksaraku dan seisinya adalah yang terpinjamkan dariNYA.